Gambar di atas merupakan gambar kenangan Sp semasa berada dalam darjah 1 ( Kredit kepada Cik Normala ). Pada ketika itu, merupakan hari penyampaian hadiah dan seperti biasa acara pakaian beragam adalah acara wajib gabi murid darjah satu ( sebab dalam darjah satu susah nak bimbing budak- budak ni membuat persembahan.
Inilah teman-teman SP dari darjah satu sehinggalah darjah enam kerana kami hanya ada satu kelas untuk setiap darjah. Seronok bila terkenang-kenang zaman persekolahan dulu. Seronok bukan main kalau menang dalam acara sukaneka sebab akan dapat hadiah walaupun sekadar tupperware. Bangga bila dapat memegang bungkusan hadiah.
Sp berada dalam darjah satu ketika tahun 1984. Tidak banyak kenangan yang diingati pada zaman itu. Tetapi kehidupan sepanjang zaman persekolahan di Sekolah Kebangsaan Ladang Yong Peng tidak pernah Sp lupakan. Sp tidak pernah merasa kehidupan bersekolah tadika sebalum memasuki sekolah biasa namun begitu Sp takdelah meraung di hari pertama persekolahan.
Di sekolah itulah Sp banyak menghabiskan masa zaman kanak-kanak Sp. Bersekolah kebangsaan di sebalah pagi, manakala di sebelah petangnya, di sekolah itu jugalah Sp belajar disekolah agama. Ini bermakna, Sp akan tetap menunggu di sekolah yang sama untuk menanti sessi persekolahan agama. Dari pagi hinggalah ke petang, Sp akan duduk di sekolah itu. Bukan SP sahaja tetapi kebanyakan murid yang tinggal agak jauh juga akan tinggal bersama menunggu sessi sekolah agama.
Bekalan makanan yang dibawa akan dimakan pada waktu rehat di sebelah pagi manakala bakinya ditinggalkan untuk dimakan sebelah petang. Bercerita tentang bekalan makanan, ada keunikannya. Pada waktu rehat, Sp dan kawan-kawan akan makan bersama-sama, malah kami juga kadangkala berkongsi lauk pauk yang dibawa. Ungkapan "kau bawak lauk apa ek.... mintak sikit leh tak?" adalah menjadi rutin kami. Dengan cara itu jugalah, kami dapat mempelbagaikan lauk yang kami makan pada hari itu. Lagipun ada program makanan tambahan, jadi bekalan makanan yang ada diusik sedikit manakala bakinya untuk di makan sebelah petang.
Sepanjang petang, selepas sessi persekolah kebangsaan tamat dalam pukul 12.45, Sp dan kawan-kawan mempunyai masa dalam 2 hingga 4 jam sebelum sessi sekolah agama bermula. Di masa itulah Sp akan menyelesaikan kerja sekolah. Setelah selesai membuat kerja sekolah, kadangkala kami akan menghabiskan masa dengan merayau di Pekan Kangkar Bahru. Malah kadangkala teman-teman yang tinggal berdekatan juga menjemput kami datang ke rumah mereka untuk berehat, makan dan membersihkan diri sebelum meneruskan sessi persekolahan agama. Selalunya anak-anak polislah yang begitu berbesar hati menumpangkan kami di rumah mereka.
Hari selasa adalah hari yang agak meriah pada zaman itu kerana pada ketika itu terdapat pasar sehari disebelah petangnya. Kami sanggup menyimpan wang saku persekolahan sepanjang seminggu untuk membeli apa saja di pasar sehari tersebut. Seronok berjalan-jalan di pasar sehari tersebut bersama rakan-rakan.
Banyak kenangan indah ketika di zaman persekolahan kannnn.... ini adalah sebahagian dari cerita Sp untuk tatapan semua.... Andai dapat kuundurkan masa... alahai.....
No comments:
Post a Comment